KAUM HAWA PENGHUNI SYURGA

bismillah101Lelaki dan wanita adalah hamba kepada Allah Maha Pencipta. Kedua-keduanya diciptakan untuk menjadi pasangan antara satu sama lain, sebagai melengkapkan sunnah penciptaan seluruh makhluk di alam maya ini.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Maha Suci Allah Yang menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi atau dari diri mereka ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya. (Surah Yaasin ayat 36)

Namun demikian, wanita amat mudah untuk memasuki syurga berbanding kaum lelaki kerana kaum lelaki akan dipertanggungjawabkan untuk mendidik anak dan isterinya dan mengajak masyarakat sekelilingnya kepada Islam. Kaum lelaki juga akan bertanggungjawab kepada keperluan ibu bapanya dan keluarganya yang belum berkahwin walaupun mereka telah mendirikan rumahtangga.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Sesungguhnya dunia dan seluruh isinya adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah. (Hadis Riwayat Muslim).

Wanita solehah ialah mereka yang menjaga maruahnya dan sentiasa menghiasi diri dengan akhlak Islam dan sifat terpuji yang boleh melindungi dirinya dari kemurkaan Allah SWT seperti menjaga perhiasan, pergaulannya, menjaga lidah dan tidak mengumpat dan mengadu domba disamping menjadi wanita yang berilmu, cerdik dan pintar.

Malah, wanita juga perlu mendalami ilmu Islam, mengkaji tafsir al-Quran, hadis, memahami ilmu realiti semasa dan mengetahui cara mengubati penyakit masyarakat, manakala pada malam hari wanita juga boleh menjadi seorang abid, membaca al-Quran, berzikir kepada Allah, sembahyang tahajjud dan berdoa kepada Allah.

Perkara yang membawa seseorang wanita kepada keselamatan dan kebahagiaan dunia dan akhirat. Antaranya, hendaklah melaksanakan kewajipan agama.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Apabila seorang wanita (isteri) melakukan sembahyang lima waktu, puasa Ramadan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya masuk syurga mengikut pintunya mana yang ia suka (mengikut pilihannya). (Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani).

Firman Allah SWT : Barang siapa taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia akan memasukkannya ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Dan itulah kemenangan yang agung. (Surah an-Nisa ayat-13).

Isteri juga hendaklah mentaati suami. Hal ini disebut dalam banyak hadis, antaranya hadis riwayat at-Tabarani, daripada Abdullah bin Salam bahawa:

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sebaik-baik wanita adalah wanita yang menyenangkanmu jika kamu melihatnya, mentaatimu jika kamu menyuruhnya dan dapat menjaga dirinya dan hartamu ketika engkau tidak bersamanya.

Isteri solehah juga perlu disuruh untuk selalu mengingati Allah. Dalam sebuah hadis riwayat at-Tirmizi, bahawa:

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Hendaklah kamu (wanita) memperbanyak membaca tasbih, tahlil, taqdis dan hitunglah dengan ruas jari-jari kerana sesungguhnya mereka akan ditanya dan akan dijadikannya boleh berbicara.

Janganlah kamu lalai sehingga melupakan rahmat Allah. Orang yang memperhatikan dengan teliti ayat al-Quran dan hadis akan mendapati begitu banyaknya dalil yang menjelaskan perilaku yang seharusnya dimiliki wanita Muslimah dalam hubungannya dengan Allah SWT.

Dalam hadis riwayat Abu Daud daripada Abu Hurairah ra dan Abu Said ra bahawa:

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang bangun tengah malam, kemudian membangunkan isterinya, lalu mereka melakukan solat berjemaah dua rakaat, maka mereka akan dimasukkan dalam golongan orang yang banyak mengingati Allah.

Dalam hal bersedekah, Islam turut meletakkan wanita pada kedudukan sewajarnya. Dalam sebuah hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi:

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Wahai semua wanita, bersedekahlah walaupun dari perhiasan kamu sekalian. Sesungguhnya kamu kelak paling banyak menjadi penghuni neraka.

Kesimpulannya, wanita adalah makhluk ciptaan Allah yang istimewa yang Allah menyediakan jalan mudah untuk mereka menuju syurga dengan amalan di atas.

Semoga semua wanita sentiasa menjaga kesucian diri mereka dan mengelak segala bentuk fitnah yang mungkin boleh berlaku tanpa disedarinya.

~Renung-renung dan fikir-fikirkan~

Sumber : PenaHalaqah

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: